DIMENSI BUDAYA PENDIDIKAN SENI

Posted by LyDia , Friday, April 8, 2011 7:22 AM

DIMENSI BUDAYA PENDIDIKAN SENI

Seni dan Budaya
Seni sememangnya telah sekian lama mewarnai ketamadunan, peradaban dan kebudayaan manusia. Seni memberi peluang untuk memahami pengalaman manusia dengan baik.Untuk memahami sesuatu masyarakat, kita perlu memahami bagaimana seni mempengaruhi sosial, politik dan ekonomi sesuatu masyarakat, Ini kerana seni dan kesenian terlalu akrab dengan aspek keagamaan, sosial, politik, ekonomi serta kebudayaan dan mempunyai hubungan dan perkaitan yang kuat terhadap hubungan sesama manusia baik dalam komunikasi mahupun budaya sesebuah masyarakat tersebut.
Koentjaraningrat, dalam bukunya Pengatar Ilmu Antropologi, mengatakan bahwa suatu kebudayaan memiliki tujuh unsur penting, iaitu bahasa, sistem pengetahuan, organisasi sosial, sistem peralatan hidup dan teknologi, sistem mata pencarian, sistem keagamaan, dan kesenian. Dalam hal ini, seni yang mempengaruhi kehidupan manusia, dapat tercermin dari bentuk-bentuk atau benda-benda yang merupakan hasil dari karya seni, misalnya candi, patung, ukiran dan bahkan kaligrafi.
Dalam perkembangan sejarah seni, persoalan berhubung apakah kepentingan yang dapat dilakukan oleh seni dalam kehidupan manusia sering menjadi bahan perbahasan. June King McFee berbicara mengenai kepentingan seni dalam budaya iaitu seni dilihat sebagai sebuah medium untuk berkomunikasi sesama manusia. Tidak ada cara yang lebih baik untuk memahami dan mengalami kepelbagaian budaya dan kesamaan kemanusiaan melainkan melalui seni. Ia bukan sahaja kesedaran budaya tetapi juga perkembangan peribadi.  Melalui sesebuah karya seni, seniman dapat  memberikan reaksi terhadap sebuah pernyataan tentang penolakan atau penerimaan berbagai gelora budaya yang sedang berlaku iaitu cukup hanya dengan mengetengahkan apa yang sedang berlaku, kemudian diungkapkan menjadi sebuah karya. Seterusnya melalui karya seni, pelbagai gelora budaya tadi akan sampai kepada masyarakat melalui sebuah pameran. Maka pada saat inilah terjadi hubungan atau perkaitan di antara seniman dan masyarakat di mana seniman mengaitkan permasalahan yang sedang berlaku  menjadi permasalahan bersama antara seniman dan masyarakatnya.
Seni menjadi jambatan yang menghubung antara individu dan masyarakat. Ia menghubungkan sesama manusia dan tempat serta bagaimana manusia bergantung sesama mereka. Antara aspek sosial yang terlibat ialah kumpulan keluarga, komuniti,kumpulan umur, fenomena kelas, kaum dan etnik, agama serta jantina dan baka. Semua elemen tersebut menyumbang ke arah pembangunan sosial.
Malahan di zaman moden para pengiklan, penghibur dan ahli politik menggunakan unsur seni untuk menyampaikan mesej dan memupuk sistem kumpulan masyarakat. Seni mempunyai kuasa yang amat kuat dan penting untuk membantu menjelaskan isu budaya dan kehidupan sosial serta mengangkat persoalan-persoalan yang dapat membantu masyarakat kita terhadap isu-isu yang kompleks dan berbahaya di persekitaran kita. Sebagai contoh bahan-bahan dan teknik penghasilan seni yang digunakan dalam menghasilkan sesuatu seni boleh memberi kefahaman tentang faktor geografi, alam sekitar dan struktur sosial sesuatu masyarakat.
Seni merupakan suatu perkara yang tidak dapat dilepaskan dari kehidupan manusia dan akan selalu berkembang dari pelbagai aspek yang melingkupinya. Peredaran masa telah memperlihatkan perubahannya yang berkembang seiring dengan kehendak persekitaran dan naluri manusia itu sendiri. Ini sejajar dengan peranan seni dan kesenian di dalam kaitannya dengan warisan dan kebudayaan masyarakat. Kebudayaan yang terbentuk dalam sesebuah masyarakat akan terus bergerak secara dinamik dan mengikuti perkembangan zaman. Begitu juga dengan pola pemikian dan selera setiap manusia yang terus berubah dari zaman ke zaman, dan hal ini diikuti oleh perkembangan seni itu sendiri.
Dalam pemahaman sosiologi seni ada perkaitan antara seni dengan masyarakat yang ketara dalam mengemukakan berbagai jenis seni. Kefahaman dari masyarakat kepada golongan sosial, perbezaan etnik dan kefahaman dari masyarakat membawa pelbagai jenis seni yang ada dalam kehidupan. Sosiologi menjadikan seni itu difahami dalam konteks masyarakat. Apa yang muncul dalam sosiologi seni merupakan hasil atau produk masyarakat kerana itu, seni dilihat sebagai hak masyarakat. Dari kefahaman ini, seni juga difahami sebagai kelahiran dari masyarakat dan kehidupan. Di sebalik itu perubahan dalam seni, kepelbagaian dalam seni pada suatu masa dikatakan boleh memperjelaskan beberapa sudut dalam sosiologi.
Ada golongan tertentu yang berkuasa dalam politik dan budaya meletakkan seni sebagai tanda kecanggihan budaya. Dikatakan orang yang tidak berupaya menghayati seni abstrak maka dianggap golongan yang tidak modenisasi. Dengan meletakkan anggapan sebegini, martabat seni itu dengan sendiri membawa perbezaan kelas dalam kehidupan manusia. Kesenian menjadi suatu lambang pada masa, budaya dan status yang dicipta sendiri oleh manusia. Masyarakat tradisional yang diwarisi datang dari tradisi raja-raja dan kaum bangsawan boleh dijadikan bukti dalam konteks sejarah orang Melayu. Buktinya seni tradisional dan objek-objek berkaitan dengan kehidupan di istana telah diletakkan pada status yang tinggi dalam masyarakat berbanding hasil seni yang halus dan kreatif dari ciptaan rakyat biasa.
Pada abad ke-19 hingga ke abad ke-20, kita telah melihat kepada sebuah fenomena yang menunjukkan pandangan yang begitu sempit yang ditimbulkan oleh golongan atasan masyarakat di barat. Golongan elit dalam masyarakat barat pada abad ke-19 telah mewujudkan satu tanggapan bahawa orang-orang yang berkongsi sikap dan gaya hidup yang sama diterima sebagai orang-orang yang berbudaya. Manakala bagi mereka yang mempunyai nilai yang berbeza dari kalangan mereka dianggap sebagai orang yang kurang berbudaya, atau dalam kebanyakkan kes, mereka dianggap tidak berbudaya langsung (Goodenough, 1981) iaitu yang dinilai berdasarkan kepada nilai-nilai dan simbol peradaban masyarakat barat seperti yang ditafsirkan oleh (Hirsch, 1987), iaitu yang menjelaskan di sini bahawa seseorang itu harus menguasai pendidikan.
Seni dikatakan tidak berupaya dikuasai oleh individu-individu tertentu kerana kepentingan seni dalam kehidupan diberikan adalah kecenderungan dari ideologi tertentu. Setiap ideologi itu ada kepentingan dan berkait dalam kehidupan. Kepentingan sejarah diberikan pada seni adalah kecenderungan untuk mengaitkan sejarah dengan kehidupan dan seni menjadi aktiviti terdekat dalam kehidupan.
Sesungguhnya, walau  apapun bentuk karya seni yang dihasilkan oleh sesuatu masyarakat, pasti tidak akan terlepas daripada pengaruh kebudayaan yang berlaku. Walau betapa besar sekalipun daya imaginasi dan kreativiti yang dimiliki oleh seseorang seniman tersebut, ia sentiasa akan merujuk kepada nilai-nilai budaya, norma-norma sosial ataupun pandangan hidup yang berlaku dalam kalangan masyarakat.  Pemberontakan yang diungkapkan oleh seniman dalam karya-karyanya, terutama yang berpangkal kepada rasa ketidakpuasan terhadap kemapanan yang ada.  Demikian pula seandainya seniman itu mengungkapkan pembaharuan di dalam karyanya, ia pastinya berpangkal kepada kenyataan sosial budaya yang dianggapnya kurang dinamik. Ungkapan-ungkapan yang mendambakan semangat kebebasan, biasanya bersifat mencerminkan  rasa tidak puas akan peraturan yang dirasakan membelenggu mereka.
Pada hakikatnya, setiap orang berkomunikasi dengan manusia lain menggunakan bahasa kerana ia merupakan medium yang paling efektif, mudah dan cepat untuk difahami. Walau bagaimanapun, bahasa tetap mempunyai batasannya kerana adalah mustahil untuk semua orang menghafal dan mempelajari semua bahasa-bahasa yang ada di dunia ini sekaligus.  Seni dilihat sebagai sebuah medium yang paling efektif dalam berkomunikasi sesama manusia. Ini kerana seni dapat menembusi batasan-batasan bahasa verbal mahupun berbezaan lahiriah setiap orang. Hanya melalui seni, manusia dapat berkomunikasi dengan dunia di luar dirinya serta melalui seni kita dapat mengenal budaya bangsa lain yang ada di dunia ini.
June King McFee mengatakan bahawa untuk memahami pengalaman estetika dalam budaya lain adalah sangat kompleks. Ini kerana kebudayaan setiap bangsa cenderung mengarah kepada globalisasi dan menjadi peradaban dunia sehingga melibatkan manusia secara menyeluruh. Walau bagaimanapun, kepelbagaian dan perbezaan menjadikan seseorang individu itu unik. Sebuah kebudayaan besar biasanya memiliki sub-kebudayaan iaitu sebuah kebudayaan yang memiliki sedikit perbezaan dalam hal perilaku dan kepercayaan dari kebudayaan induknya. Munculnya sub-kebudayaan adalah disebabkan oleh beberapa hal, antaranya ialah kerana perbezaan umur, ras, etnik, kelas, estetik, agama, pekerjaan, pandangan politik dan jantina. Oleh itu, McFee telah menekankan bagaimana seni itu dilihat sebagai sebuah medium komunikasi yang sangat penting pada masa kini, iaitu dengan mengaitkannya melalui pendidikan multikultural iaitu suatu sikap dalam memandang keunikan manusia dengan tanpa membezakan ras, budaya, jantina, kedudukan jasmani atau status ekonomi seseorang (Skeel, 1995).
Pendidikan multikultural (multicultural education) merupakan strategi pendidikan yang memanfaatkan kepelbagaian latar belakang kebudayaan pelajar  sebagai salah satu kekuatan untuk membentuk sikap multikultural. Strategi ini sangat berguna, terutamanya bagi pihak sekolah dalam membentuk dan menerapkan persefahaman antara pelajar atas konsep kebudayaan, perbezaan budaya, keseimbangan, dan demokrasi dalam maksud yang luas dan menyeluruh.
Pendidikan multikultural mengakui adanya kepelbagaian etnik dan budaya masyarakat sesebuah bangsa, sebagaimana yang dikatakan oleh R. Stavenhagen:
Religious, linguistic, and national minoriti, as well as indigenous and tribal peoples were often subordinated, sometimes forcefully and against their will, to the interest of the state and the dominant society. While many people ... had to discard their own cultures, languages, religions and traditions, and adapt to the alien norms and customs that were consolidated and reproduced through national institutions, including the educational and legal system.”


Pendidikan multikultural mempunyai dasar prinsip yang melibatkan pemeliharaan terhadap budaya dan saling mempunyai rasa hormat antara semua kolompok budaya di dalam sesebuah masyarakat tersebut. Konsep pendidikan multikultural di negara-negara yang menganut konsep demokrasi seperti Amerika Syarikat dan Kanada, bukan lagi perkara yang baru. Mereka telah melaksanakannya terutamanya dalam usaha meghapuskan masalah diskriminasi perkauman di antara orang kulit putih dan kulit hitam, yang bertujuan dalam memajukan dan memelihara integriti nasional.
Di Amerika contohnya, telah muncul satu siri konsep tentang pluralisme yang pelbagai, bermula dari melting pot sehinggalah ke multikulturisme. Sejak Columbus menemui benua Amerika, benua itu telah didiami oleh pelbagai bangsa. Penduduk asalnya yang memang telah berada di sana sebelum bangsa-bangsa Eropah membentuk tanah jajahan-jajahan mereka di Amerika Utara, terdiri daripada pelbagai jenis suku atau etnik  yang berbeza dari segi bahasa dan budayanya. Namun, pada pandangan  bangsa Anglo-Saxon yang melebarkan tanah jajahannya pada abad ke-17, menganggap bahawa tanah di negara baru itu mempunyai kawasan yang tidak bertuan manakala bangsa-bangsa yang ditemui di benua baru tersebut tidak ubah seperti makhluk primitif yang merupakan sebahagian daripada alam yang harus ditakluki.
Dari perspektif kumpulan radikal agama yang menjadi acuan utama kepada sebahagian besar pendatang dari Inggeris tersebut, pelbagai suku bangsa telah dilabel secara umum dengan nama "Indian" iaitu yang merupakan bangsa kafir pemuja dewa yang membahayakan kehidupan komuniti dengan berlandaskan kepada agama tersebut. Maka di sini kita melihat bagaimana pandangan berperspektif tunggal yang datang dari budaya tertentu telah membutakan mata terhadap kenyataan yang terdapat pada kepelbagaian yang wujud.
Perubahan budaya yang terjadi di dalam masyarakat tradisional, yakni perubahan dari masyarakat tertutup menjadi masyarakat yang lebih terbuka, dari nilai-nilai yang bersifat homogen menuju pluralisme nilai dan norma sosial merupakan salah satu dampak dari adanya globalisasi. Dalam konteks yang lebih luas, pendidikan multikultural  cuba untuk membantu dalam menyatukan bangsa secara demokrasi iaitu dengan menekankan kepada perspektif pluralis masyarakat dari pelbagai keturunan, etnik, dan kelompok budaya yang berbeza. Maka dengan itu, sekolah telah mempraktikkan nilai-nilai demokrasi. Dalam  kurikulum, ia dapat mengembangkan rasa hormat kepada orang yang berbeza budaya, memberi ruang untuk bekerja bersama dengan orang atau kelompok orang yang berbeza etnik atau rasnya secara langsung dan sekaligus menjunjung nilai-nilai kerjasama.
Sejak pertengahan tahun 1970-an, telah muncul perkembangan terhadap kepentingan seni serta pengiktirafan oleh para ahli antropologi yang mempercayai bahawa seni dan nilai estetika dalam sesebuah budaya mungkin mengalami perubahan. Seperti yang ditulis sebelumnya, Bourdieu (1984) mendapati bahawa kelas sosial dan gaya hidup merupakan faktor yang kuat dalam mempengaruhi perkembangan sikap terhadap seni. Ada golongan tertentu yang berkuasa dalam politik dan budaya meletakkan seni sebagai tanda kecanggihan budaya. Dikatakan orang yang tidak berupaya menghayati seni abstrak maka dianggap golongan yang tidak modenisasi.
Dengan meletakkan anggapan sebegini, martabat seni itu dengan sendiri membawa kepada perbezaan kelas dalam kehidupan manusia. Kesenian telah menjadi suatu lambang pada masa, budaya dan status yang dicipta sendiri oleh manusia. Masyarakat tradisional yang diwarisi datang dari tradisi raja-raja dan kaum bangsawan boleh dijadikan bukti dalam konteks sejarah orang Melayu. Buktinya seni tradisional dan objek-objek berkaitan dengan kehidupan di istana telah diletakkan pada status yang tinggi dalam masyarakat berbanding hasil seni yang halus dan kreatif dari ciptaan rakyat biasa.
Dalam konteks masyarakat, seni dilihat sebagai hak masyarakat iaitu yang dianggap sebagai sebuah kelahiran daripada masyarakat dan kehidupan. Dalam pemahaman sosiologi seni, terdapat perkaitan antara seni dengan masyarakat yang ketara dalam mengemukakan pelbagai bentuk seni. Perubahan dan kepelbagaian dalam seni pada sesuatu masa dikatakan boleh menjelaskan beberapa aspek dalam sosiologi. Apa yang muncul dalam sosiologi seni adalah merupakan hasil atau produk masyarakat. Kefahaman dari masyarakat kepada golongan sosial, perbezaan etnik dan kefahaman dari masyarakat membawa kepada pelbagai jenis seni yang terdapat dalam kehidupan.
Seperti yang telah dinyatakan oleh Bourdieu (1984), yang mendapati bahawa perkembangan sikap terhadap seni adalah berkaitan dengan kelas sosial dan gaya hidup. Keperluan untuk memiliki barang yang sesuai untuk menunjukkan status atau kelas sosial menjadi sangat kuat. Keperluan ini muncul kerana adanya dorongan dalam diri manusia yang sentiasa bercitarasa. Pemenuhan keperluan estetik biasanya dilakukan oleh manusia melalui kebudayaan khususnya melalui kesenian. Dalam mempertahankan kelas seseorang itu, ia dapat diekspresikan melalui kemampuan estetika seseorang terhadap pemilihan objek persekitaran dan seni (Bourdieu, 1984).
Di sini menjelaskan bahawa konsep seni mempunyai pertalian yang erat dengan estetika. Menurut pandangan Barat, estetika bererti sesuatu yang berkaitan dengan pengamatan terhadap sesuatu perkara atau suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan aspek kegunaannya. Misalnya menurut Herbert Read  dalam buku  (The Meaning of Arts ), seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik ( Art is Expression ). Kesenangan estetik di sini adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual, termasuklah  kepuasan, kenikmatan, kesukaan  dan  kegembiraan. Maka dalam konteks ini, menjelaskan bahawa seni merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan estetika dan keindahan. Keindahan yang mampu memukau dan mempersonakan mata dan hati yang menghayatinya dengan segenap pancaindera yang ada.
Perkataan estetika mula digunakan oleh Baumgarten pada tahun 1735. Menurutnya, keindahan mestilah diasingkan daripada estetika kerana barang yang buruk boleh diterima dengan cara yang indah dan sebaliknya. Kebudayaan Barat telah memisahkan seni dengan agama. Pemisahan ini wujud dengan lahirnya sekularisme. Lantaran itu, seni menjadi suatu yang bebas. Demi seni, semuanya dibolehkan sehingga melahirkan kepelbagaian aliran di dalam seni itu sendiri seperti ekspressionisme, kubisme, impressionisme dan sebagainya.
Manakala Silver (1979) telah melakukan satu tinjauan dan kajian yang menyeluruh tentang seni dalam budaya sehingga ke pertengahan 1970-an. Beliau telah menciptakan sebuah landasan yang berguna untuk kita berfikir mengenai seni. Istilah Seni etno digunakan sebagai pengganti kepada seni rupa. Keadaan ini mendorong kita untuk melihat kepada respon atau tindak balas yang diberikan oleh sesebuah budaya terhadap sesebuah bentuk seni yang sering digunakan dalam konteks budayanya sendiri. Silver telah menggunakan istilah etno-estetika untuk mengenalpasti sistem nilai yang diberikan dalam budaya sesebuah kumpulan etnik, iaitu dengan mengambil kriteria dalam perkembangan bentuk estetikanya. Beliau mengingatkan kita kepada cara kategori dalam aspek kesenian yang ada pada masyarakat barat, seperti bentuk dan fungsi, serta tidak universal seperti yang sering kita andaikan. Namun, sudah pasti ahli dari sesebuah kumpulan etnik tersebut tidak berkongsi budaya yang sama, maka sistem ini juga mempunyai kelemahannya.
            Geertz (1983), pula dalam analisisnya mengatakan tentang kedudukan seni dalam sesebuah budaya. Seni adalah medium dalam penyampaian sesuatu maksud atau lambang. Kita  dapat mengetahui tentang budaya seseorang seniman dan perkara yang ingin disampaikan oleh seseorang seniman tersebut  hanya melalui karyanya. Ini selaras dengan pendapat beliau yang menurutnya, manusia dalam kehidupannya menggunakan  simbol sebagai sarana  untuk berkomunikasi sesama mereka. Kesenian sebagai unsur kebudayaan  tidak hanya dilihat dari hasil ciptaannya semata-mata, tetapi dalam hal ini lebih dipandang sebagai simbol iaitu mengatakan sesuatu tentang sesuatu, dengan demikian  kesenian sebagai simbol akan berhadapan dengan makna dan pesan untuk diresapkan. Sistem simbol adalah sistem penandaan yang di dalamnya mengandungi makna harafiah, bersifat primer dan langsung ditunjukkan, juga mengandung makna sekunder yang biasanya berupa kiasan yang menunjuk pada makna yang tersembunyi dan memerlukan interpretasi ( Hadi, 2006 : 25 – 27 ).
Dalam konsep seni dalam budaya, seni merupakan paparan budaya milik bangsanya, dijelmakan dengan identiti, nilai, adat  resam, kepercayaan dan sistem hidup yang tersendiri (Anwar, 2008).[1] Karya seni biasanya dihasilkan secara terancang dengan pengisian tertentu yang menggambarkan  identiti pencipta dan masyarakat yang mengawalnya. Konsep seni terus berkembang sejajar dengan berkembangnya  sesebuah kebudayaan  dan  kehidupan masyarakat yang dinamik.
Selain itu, Geertz (1983) turut menunjukkan bahawa orang-orang yang terdapat dalam budaya yang berbeza mendefinisikan diri mereka sendiri sebagai orang yang berbeza. Seperti yang dapat dilihat melalui kajian mengenai cara pengajaran dalam bahasa Cina, Jepun dan prasekolah di Amerika. Terdapat beberapa cara yang berbeza yang digunakan oleh anak-anak ini dalam belajar mengenai diri mereka serta hubungan mereka dengan kelompok mereka. Manakala di negara lain seperti di Jawa, Maghribi dan Bali, Geertz mendapati kelompok ini masing-masing mempunyai takrifan definisi terhadap diri mereka sendiri dalam cara yang berbeza, baik dari sudut falsafah, sosial dan peribadi.
Dalam sebuah tulisan beliau yang bertajuk "From the Natives' Point of View," beliau telah membahaskan tentang kesukaran masyarakat  barat dalam mendefinisikan diri mereka sendiri, sepertimana adanya masyarakat lain mendefinisikan diri mereka sendiri dalam hubungan mereka dengan realiti kehidupan. Ini berlaku secara berterusan dalam kelompok mereka, dan banyak faktor-faktor yang memisahkan mereka antara satu dengan yang lain. Mereka banyak merujuk kepada estetika dan puisi daripada seni visual, dan Kebanyakkan yang diperkatakan adalah tentang seniman, iaitu mengenai perasaan seseorang artis yang mempengaruhi seni yang dihasilkannya.
Hal ini mungkin nampak seperti tidak memberikan maklumat kepada guru kelas, namun pembawa-pembawa budaya yang berbeza yang duduk di dalam satu kelas ini cuba untuk memahami struktur dan realiti yang mereka dapati jauh berbeza daripada budaya mereka sendiri. Maka dalam konsep perbezaan  inilah kita melihat bahawa pendidikan multikultural merupakan satu strategi pendidikan yang sangat berguna, terutamanya bagi pihak sekolah dalam membentuk dan menerapkan persefahaman antara pelajar atas konsep kebudayaan, perbezaan budaya, keseimbangan, dan demokrasi dalam maksud yang luas dan menyeluruh. Seperti yang kita ketahui, tidak ramai anggota masyarakat yang memahami erti penting dari pluralisme budaya, dan tidak ramai juga anggota masyarakat yang berkeyakinan bahawa kita dapat hidup bersama walaupun di dalam keragaman budaya.
Namun, ideologi atau fahaman multikulturalisme ini bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan masalah kepelbagaian budaya. Multikulturalisme yang pada ketika ini telah menjadi sebuah isu dalam dunia pendidikan, mungkin pada anggapan pertama dilihat sangat sesuai untuk diamalkan di dalam sistem pendidikan di negara kita yang terkenal dengan kepelbagaian dari segi budaya, tradisi , serta sistem kepercayaannya yang luar biasa. Namun, jika dikaji  secara mendalam dan terperinci iaitu dengan mengambil kira dari pelbagai aspek, sistem ini dilihat  mempunyai kelemahannya sendiri yang mungkin tidak disedari oleh sesetengah pihak.
Para pendukung idea atau teori ini menganggap bahawa apa yang mereka tawarkan adalah sesuatu yang harus diikuti oleh semua pihak. Namun, adakah teori ini dapat dipastikan benar secara seratus peratus? Bagaimana pula jika ia sebuah teori yang salah? pastinya semua ahli masyarakat yang mengikuti idea ini akan turut juga salah kerana mengikuti sebuah idea yang salah yang belum tentu dipastikan betul seratus peratus. Ini kerana teori multikulturalisme ini, tujuannya adalah persamaan dan kesederajatan. Jika antara salah dan benar dianggap sama atau budaya baik dan budaya buruk dianggap sama, maka yang terjadi adalah kebingungan dan skeptisisme kepada golongan yang dididik itu.
            Kesimpulannya, teori multikulturalisme ini bukanlah jawapan kepada masalah kepelbagaian budaya dalam sesebuah negara yang mempunyai masyarakat yang majmuk. Perlu diingat bahawa, keberagaman corak budaya, bahasa, ras, etnik, suku serta agama adalah sebuah realiti yang wujud atas kekuasaan maha pencipta yang menciptakan manusia yang beraneka ragam ,supaya manusia saling mengenal dan saling menghargai antara satu dengan yang lain. Oleh itu, untuk menjadikan sesebuah masyarakat  itu  menjadi satu adalah  satu kemustahilan.





RUJUKAN

Herbert Read.(1956). Education Through Art, dalam Izani Mat Il M. Hum.”Kajian Kraf
         Tradisional Rupa & Identiti”.Nota kuliah.UPSI.

Herbert Read, The Meaning of Art, diterjemahkan oleh Sudarso Sp.,STSRI. ASRI. 
          Yogyakarta, April 1971.


Rohidi Rohendi Tjetjep. (2000). Kesenian dalam pendekatan kebudayaan. Bandung: STISI
         Press.

_________, 2010. “Perubahan Budaya Dalam Globalisasi; Kesenian Yang Bertahan Dan Yang 
           Tersisihkan”[online]. (http://wartawarga.gunadarma.ac.id/2010/05/perubahan-budaya- dalam-globalisasi-kesenian-yang-bertahan-dan-yang-tersisihkan/. Okt/2010)
Ahmad Adib Musthofa, 2010. “Menimbang kembali Pendidikan Multikulturalisme” [online].       
(http://www.inpasonline.com/index.php?option=com_content&view=article&id=425:me
nimban g-kembali-pendidikan-multikulturalisme&catid=70:opini&Itemid=104.
Sept/2010)

Banks and Banks (1995).” Multicultural Education” [online].

(http://www.ncrel.org/sdrs/areas/issues/educatrs/presrvce/pe3lk1.htm.Okt/2010)

Mary Stone Hanley, 2010.“ The Scope of Multicultural Education”[online]
                   (http://www.newhorizons.org/strategies/multicultural/hanley.htm.Okt/2010)           

                          


[1] Anwar Din (pnyt.), 2008. Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu. Bangi: Penerbit UKM.

Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual

Posted by LyDia , Thursday, March 10, 2011 2:00 PM

Cadangan pendekatan dalam pelaksanaan Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual.

Oleh : Lydia Patrick

         Dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam mata pelajaran pendidikan seni, kita sebagai seorang pendidik seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi agar kita berupaya untuk menilai atau memeriksa bidang-bidang seni tertentu supaya sentiasa terkini dan selari dengan keperluan semasa. Dalam peredaran arus global masa kini, kita seharusnya berupaya untuk menilai semula pemikiran kita terhadap apa jua kemungkinan  tentang apa yang akan kita ajar nanti.

Terdapat beberapa cara pendekatan yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni iaitu yang terbahagi kepada empat aspek penting yang menjadi panduan iaitu dari segi strategi, pendekatan, kaedah serta teknik yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kita. Dalam pelaksanaan keempat-empat komponen ini, kita harus percaya bahawa melalui subjek pendidikan  seni terdapat  banyak yang boleh disediakan untuk perkembangan pelajar terutamanya dari segi aspek kreativiti yang menjadi  matlamat utama dalam pendidikan seni. Selain itu, kita juga perlu mempersoalkan terhadap pandangan bahawa perkembangan pelajar  yang umumnya bukan setakat berkebolehan menggunakan alat dan bahan semata-mata. Melalui pelajaran pendidikan  seni  banyak yang boleh disediakan untuk perkembangan pelajar. Hasrat untuk  merealisasikan pendekatan ini adalah bergantung kepada kebijaksanaan guru dalam menterjemah, merancang dan melaksanakannya dalam P&P iaitu melalui keempat-empat aspek seperti yang disebutkan tadi.

1.         Strategi
Strategi merupakan suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat atau objektif jangka panjang dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum. Konsepnya adalah berteraskan kepada kebijaksanaan dalam memilih pendekatan serta kecekapan dalam merancang kaedah dan  teknik yang berdasarkan kepada objektifnya. Dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual, terdapat 10 strategi yang telah dikemukakan seperti Pembelajaran Kontekstual, Pembelajaran Konsepsual, Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), Kemahiran Berfikir, Pembelajaran Akses Kendiri, Kecerdasan Pelbagai, Belajar Cara Belajar, Konstruktivisme, Kajian Masa Depan, dan Pembelajaran Masteri. Walau bagaimanapun di dalam pengajaran Pendidikan Seni Visual, kita tidak semestinya menggunakan kesemua strategi yang dicadangkan sebaliknya boleh memilih mana-mana strategi yang dirasakan sesuai dengan kebijaksanaan dan kemampuan kita, dan  bergantung kepada kreativiti kita dalam P&P.

Pembelajaran Pendidikan Seni yang bermakna harus berdasarkan kepada konteks kegiatan dan kejadian harian. Oleh itu persoalan seni perlu dikaitkan dengan kehidupan harian pelajar secara eksplisit. Pembelajaran ini membolehkan pelajar menghayati kerelevanan pembelajaran Pendidikan Seni Visual dengan kehidupan sendiri. Pemilihan dan penentuan aktiviti seni visual hendaklah yang terdekat dengan murid dari segi pengalaman, imaginasi, alat dan bahan. Sesuatu projek yang diperkenalkan perlu selaras dengan kesediaan, kemampuan, kebolehan, penumpuan, pengalaman dan pemerhatian murid. Kegiatan yang menarik minat seperti kegiatan yang mencetus idea melalui aktiviti penerokaan amatlah digalakkan sama ada secara manual atau berbantukan komputer.

Salah satu daripada strategi yang menepati ciri-ciri seperti yang dibincangkan di atas ialah strategi pembelajaran konstruktif. Di bawah konteks pembelajaran teori konstruktivisme menganggap bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda tetapi dibina dalam minda berdasarkan kepada pengalaman sebenar iaitu pengetahuan yang dibina melalui proses pengaruh di antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran yang terbaru yang berkaitan.


2.         Pendekatan

Dalam proses P&P pendidikan seni, selalunya guru-guru hanya mengambil  kandungan sukatan pelajaran pendidikan seni visual itu untuk merancang P&P   bagi setiap penggal. Jarang di antara guru yang mengaitkan antara objektif  sukatan pelajaran dengan kandungan ketika membuat perancangan. Oleh itu perancangan hanya sekadar memfokuskan kepada tajuk dan sub tajuk dalam sukatan pelajaran, maka akhirnya apa yang berlaku di bilik darjah ialah P&P  hanya menumpukan kepada  penghasilan produk dan sedikit  menyentuh mengenai hal-hal yang berkaitan dengan sejarah, estetika dan kritikan seni.

Terdapat banyak pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam perancangan dan pengajaran mata pelajaran ini, namun pendekatan Konstruktivisme dicadangkan sebagai sebuah pendekatan yang tepat dan bersesuaian kerana ia merupakan satu fahaman bahawa pelajar membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada. Dalam proses  ini, pelajar akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan yang sedia ada untuk membina pengetahuan yang baru. Pengetahuan seni dibina secara beransur-ansur mengikut masa oleh pelajar sendiri dalam konteks sosial melalui interaksi idea-idea apabila maklumat baru disepadukan dengan idea yang sedia ada, dan hasilnya kesedaran atas apa yang dipelajari. Pembelajaran ini akan menjadikan murid lebih faham, yakin, dan seronok untuk belajar sepanjang hayat. Selain itu, pembelajaran dan pengajaran berdasarkan konstruktif ini dilihat sebagai menyeimbangkan  peranan guru dan pelajar untuk saling bersandar di antara satu sama lain.

3.         Kaedah

Pembelajaran konstruktif seperti inkuiri dan penyelesaian masalah adalah di antara kaedah pengajaran yang paling sesuai untuk melahirkan pelajar yang mempunyai daya kreativiti dan daya pemikiran yang tinggi di dalam Pendidikan Seni Visual. Pembelajaran inkuiri adalah diantara kaedah yang perlu diamalkan oleh guru-guru Pendidikan Seni Visual untuk melahirkan pelajar yang mempunyai tahap pemikiran dan kreativiti yang tinggi. Pelajar harus diajar untuk belajar melalui inkuiri atau penerokaan seperti seorang artis atau seorang pereka bentuk dalam berfikir. Ini membolehkan bakat yang ada pada diri pelajar akan dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih maksimum apabila ia mendapat bimbingan dari guru atau bekerjasama dengan rakan-rakan mereka melalui pembelajaran inkuiri.

Secara umumnya matlamat akhir pengajaran inkuiri seperti yang dicadangkan oleh Collins dan Stevens (1983) adalah untuk membolehkan pelajar membina teori sendiri berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang telah dipelajarinya. Teori Pengajaran Inkuiri seperti yang disarankan oleh Collins & Stevens ini adalah untuk menjamin pelajar mendapat pengetahuan melalui proses meneroka, mencari jawapan pada sesuatu masalah secara sistematik dan seterusnya dapat memahami konsep tertentu sebelum menghasilkan kerja. Strategi ini boleh memastikan bahawa pelajar dapat memahami proses kerja ke arah mendapatkan hasil yang lebih bermakna dan bermutu tinggi.


4.         Teknik

Teknik pengajaran dalam pendekatan kontruktivisme ini adalah berpusat kepada pelajar di mana pembelajaran berlaku hasil usaha atau melalui pengalaman pelajar itu sendiri. Pelajar akan mencari maklumat, menyoal dan menyiasat sesuatu fenomena yang berlaku di sekelilingnya melalui aktiviti eksperimen, projek, perbincangan, simulasi dan lawatan. Berdasarkan hasil inkuiri, pelajar seterusnya akan menggunakan kemahiran berfikir untuk membuat kesimpulan sendiri serta menemui kajian seni dan membuat kesimpulannya sendiri. Dalam hal ini, guru hanya berperanan sebagai pembimbing dan penunjuk cara.

Maka dengan itu, salah satu teknik pengajarannya adalah dengan berasaskan kepada penggunaan laman web. Sebagai contoh, guru boleh mencadangkan aktiviti berkumpulan, dan setiap kumpulan diberi tugasan berdasarkan topik-topik tertentu. Pelajar dikehendaki mencari maklumat dan bahan-bahan tersebut dari laman  web yang dicadangkan atau melalui pencarian atas usaha mereka sendiri.

Selain itu, contoh lain yang boleh diaplikasikan ialah murid mengaplikasikan pengalaman dengan melihat cara hidup di kampung nelayan untuk melukis suasana di kampung nelayan. Ini kerana setiap orang mempunyai konsep seninya yang tersendiri. Dengan berdasarkan kepada pengetahuan yang sedia ada, pelajar terus membina pemahamannya  sendiri tentang alam persekitarannya berdasarkan kepada pengalamannya.


Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas, pendekatan konstruktivisme adalah  dirasakan yang paling sesuai dilaksanakan di dalam persekitaran pembelajaran Pendidikan Seni Visual pada masa kini khususnya pada peringkat sekolah menengah. Ini kerana persekitaran pembelajaran yang berasaskan pembelajaran inkuiri, eksperimen, perbincangan, simulasi dan projek mampu menjana minda pelajar untuk sentiasa berfikiran kreatif dan  kritis.