Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual

Posted by LyDia , Thursday, March 10, 2011 2:00 PM

Cadangan pendekatan dalam pelaksanaan Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual.

Oleh : Lydia Patrick

         Dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam mata pelajaran pendidikan seni, kita sebagai seorang pendidik seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi agar kita berupaya untuk menilai atau memeriksa bidang-bidang seni tertentu supaya sentiasa terkini dan selari dengan keperluan semasa. Dalam peredaran arus global masa kini, kita seharusnya berupaya untuk menilai semula pemikiran kita terhadap apa jua kemungkinan  tentang apa yang akan kita ajar nanti.

Terdapat beberapa cara pendekatan yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni iaitu yang terbahagi kepada empat aspek penting yang menjadi panduan iaitu dari segi strategi, pendekatan, kaedah serta teknik yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kita. Dalam pelaksanaan keempat-empat komponen ini, kita harus percaya bahawa melalui subjek pendidikan  seni terdapat  banyak yang boleh disediakan untuk perkembangan pelajar terutamanya dari segi aspek kreativiti yang menjadi  matlamat utama dalam pendidikan seni. Selain itu, kita juga perlu mempersoalkan terhadap pandangan bahawa perkembangan pelajar  yang umumnya bukan setakat berkebolehan menggunakan alat dan bahan semata-mata. Melalui pelajaran pendidikan  seni  banyak yang boleh disediakan untuk perkembangan pelajar. Hasrat untuk  merealisasikan pendekatan ini adalah bergantung kepada kebijaksanaan guru dalam menterjemah, merancang dan melaksanakannya dalam P&P iaitu melalui keempat-empat aspek seperti yang disebutkan tadi.

1.         Strategi
Strategi merupakan suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat atau objektif jangka panjang dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum. Konsepnya adalah berteraskan kepada kebijaksanaan dalam memilih pendekatan serta kecekapan dalam merancang kaedah dan  teknik yang berdasarkan kepada objektifnya. Dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual, terdapat 10 strategi yang telah dikemukakan seperti Pembelajaran Kontekstual, Pembelajaran Konsepsual, Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), Kemahiran Berfikir, Pembelajaran Akses Kendiri, Kecerdasan Pelbagai, Belajar Cara Belajar, Konstruktivisme, Kajian Masa Depan, dan Pembelajaran Masteri. Walau bagaimanapun di dalam pengajaran Pendidikan Seni Visual, kita tidak semestinya menggunakan kesemua strategi yang dicadangkan sebaliknya boleh memilih mana-mana strategi yang dirasakan sesuai dengan kebijaksanaan dan kemampuan kita, dan  bergantung kepada kreativiti kita dalam P&P.

Pembelajaran Pendidikan Seni yang bermakna harus berdasarkan kepada konteks kegiatan dan kejadian harian. Oleh itu persoalan seni perlu dikaitkan dengan kehidupan harian pelajar secara eksplisit. Pembelajaran ini membolehkan pelajar menghayati kerelevanan pembelajaran Pendidikan Seni Visual dengan kehidupan sendiri. Pemilihan dan penentuan aktiviti seni visual hendaklah yang terdekat dengan murid dari segi pengalaman, imaginasi, alat dan bahan. Sesuatu projek yang diperkenalkan perlu selaras dengan kesediaan, kemampuan, kebolehan, penumpuan, pengalaman dan pemerhatian murid. Kegiatan yang menarik minat seperti kegiatan yang mencetus idea melalui aktiviti penerokaan amatlah digalakkan sama ada secara manual atau berbantukan komputer.

Salah satu daripada strategi yang menepati ciri-ciri seperti yang dibincangkan di atas ialah strategi pembelajaran konstruktif. Di bawah konteks pembelajaran teori konstruktivisme menganggap bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda tetapi dibina dalam minda berdasarkan kepada pengalaman sebenar iaitu pengetahuan yang dibina melalui proses pengaruh di antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran yang terbaru yang berkaitan.


2.         Pendekatan

Dalam proses P&P pendidikan seni, selalunya guru-guru hanya mengambil  kandungan sukatan pelajaran pendidikan seni visual itu untuk merancang P&P   bagi setiap penggal. Jarang di antara guru yang mengaitkan antara objektif  sukatan pelajaran dengan kandungan ketika membuat perancangan. Oleh itu perancangan hanya sekadar memfokuskan kepada tajuk dan sub tajuk dalam sukatan pelajaran, maka akhirnya apa yang berlaku di bilik darjah ialah P&P  hanya menumpukan kepada  penghasilan produk dan sedikit  menyentuh mengenai hal-hal yang berkaitan dengan sejarah, estetika dan kritikan seni.

Terdapat banyak pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam perancangan dan pengajaran mata pelajaran ini, namun pendekatan Konstruktivisme dicadangkan sebagai sebuah pendekatan yang tepat dan bersesuaian kerana ia merupakan satu fahaman bahawa pelajar membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada. Dalam proses  ini, pelajar akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan yang sedia ada untuk membina pengetahuan yang baru. Pengetahuan seni dibina secara beransur-ansur mengikut masa oleh pelajar sendiri dalam konteks sosial melalui interaksi idea-idea apabila maklumat baru disepadukan dengan idea yang sedia ada, dan hasilnya kesedaran atas apa yang dipelajari. Pembelajaran ini akan menjadikan murid lebih faham, yakin, dan seronok untuk belajar sepanjang hayat. Selain itu, pembelajaran dan pengajaran berdasarkan konstruktif ini dilihat sebagai menyeimbangkan  peranan guru dan pelajar untuk saling bersandar di antara satu sama lain.

3.         Kaedah

Pembelajaran konstruktif seperti inkuiri dan penyelesaian masalah adalah di antara kaedah pengajaran yang paling sesuai untuk melahirkan pelajar yang mempunyai daya kreativiti dan daya pemikiran yang tinggi di dalam Pendidikan Seni Visual. Pembelajaran inkuiri adalah diantara kaedah yang perlu diamalkan oleh guru-guru Pendidikan Seni Visual untuk melahirkan pelajar yang mempunyai tahap pemikiran dan kreativiti yang tinggi. Pelajar harus diajar untuk belajar melalui inkuiri atau penerokaan seperti seorang artis atau seorang pereka bentuk dalam berfikir. Ini membolehkan bakat yang ada pada diri pelajar akan dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih maksimum apabila ia mendapat bimbingan dari guru atau bekerjasama dengan rakan-rakan mereka melalui pembelajaran inkuiri.

Secara umumnya matlamat akhir pengajaran inkuiri seperti yang dicadangkan oleh Collins dan Stevens (1983) adalah untuk membolehkan pelajar membina teori sendiri berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang telah dipelajarinya. Teori Pengajaran Inkuiri seperti yang disarankan oleh Collins & Stevens ini adalah untuk menjamin pelajar mendapat pengetahuan melalui proses meneroka, mencari jawapan pada sesuatu masalah secara sistematik dan seterusnya dapat memahami konsep tertentu sebelum menghasilkan kerja. Strategi ini boleh memastikan bahawa pelajar dapat memahami proses kerja ke arah mendapatkan hasil yang lebih bermakna dan bermutu tinggi.


4.         Teknik

Teknik pengajaran dalam pendekatan kontruktivisme ini adalah berpusat kepada pelajar di mana pembelajaran berlaku hasil usaha atau melalui pengalaman pelajar itu sendiri. Pelajar akan mencari maklumat, menyoal dan menyiasat sesuatu fenomena yang berlaku di sekelilingnya melalui aktiviti eksperimen, projek, perbincangan, simulasi dan lawatan. Berdasarkan hasil inkuiri, pelajar seterusnya akan menggunakan kemahiran berfikir untuk membuat kesimpulan sendiri serta menemui kajian seni dan membuat kesimpulannya sendiri. Dalam hal ini, guru hanya berperanan sebagai pembimbing dan penunjuk cara.

Maka dengan itu, salah satu teknik pengajarannya adalah dengan berasaskan kepada penggunaan laman web. Sebagai contoh, guru boleh mencadangkan aktiviti berkumpulan, dan setiap kumpulan diberi tugasan berdasarkan topik-topik tertentu. Pelajar dikehendaki mencari maklumat dan bahan-bahan tersebut dari laman  web yang dicadangkan atau melalui pencarian atas usaha mereka sendiri.

Selain itu, contoh lain yang boleh diaplikasikan ialah murid mengaplikasikan pengalaman dengan melihat cara hidup di kampung nelayan untuk melukis suasana di kampung nelayan. Ini kerana setiap orang mempunyai konsep seninya yang tersendiri. Dengan berdasarkan kepada pengetahuan yang sedia ada, pelajar terus membina pemahamannya  sendiri tentang alam persekitarannya berdasarkan kepada pengalamannya.


Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas, pendekatan konstruktivisme adalah  dirasakan yang paling sesuai dilaksanakan di dalam persekitaran pembelajaran Pendidikan Seni Visual pada masa kini khususnya pada peringkat sekolah menengah. Ini kerana persekitaran pembelajaran yang berasaskan pembelajaran inkuiri, eksperimen, perbincangan, simulasi dan projek mampu menjana minda pelajar untuk sentiasa berfikiran kreatif dan  kritis.

0 Response to "Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual"

Post a Comment